Terkelu lidah, mata terpejam, fikiran terus melayang. Nampaknya Perak tewas lagi di tempat sendiri.
Apa yang dapat dilihat adalah wujudnya beberapa faktor pemisah antara pemenang dan yang tewas.
Tidak ada cacat celanya taktikal Steve Darby cuma kelemahan beberapa pemain dalam mengawal tempo permainan yang dipersembahkan oleh pihak lawan menyebabkan Perak seolah-olah tenggelam dalam tipu daya barisan pelakon drama swasta MPPJ.
Pertembungan antara dua pasukan teratas itu yang menjadi aksi tumpuan bagaimanapun dicemari insiden tegang pada minit ke-77 yang menyaksikan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil.
Namun begitu, Perak jelas dibawah keupayaan sebenar selain MPPJ dibantu oleh keupayaan pengadilan yang lemah.
Sementelah melihat pertembungan oleh dua pasukan teratas jelas jelmaan Chelsea Malaysia tidaklah sehebat mana yang rata-ratanya dibarisi oleh 40 % bekas pemain Perak. Pasukan Perak jelas dapat mengimbangi kekuatan MPPJ walaupun ramai dibarisi oleh pemain muda.
Faktor nasib juga menjadi sebahgian daripada kejayaan MPPJ setelah melihat beberapa percubaan tepat berjaya dihalang oleh penjaga gol kedua MPPJ, Faizal Rashid terutamanya cubaan dari Vedran Kukoc dan Surendran.
Walaupun begitu, pasukan Perak harus mencari formula terbaik dalam mengharungi saingan tahun baru dengan serangan yang lebih mengagumkan. Yang jelas kemarau jaringan oleh penyerang tempatan semakin menjadi-jadi dalam pasukan Perak yang hanya mengharapkan ketajaman pemain import.
Kieta Mandjou yang baru sahaja menimang anak Pertama jelas terbatas pergerakannya yang dirantai oleh tiga pertahanan kebangsaan ketika bertembung dengan MPPJ telah menghadirkan seribu kegundahan apabila rakan penyerang gagal memanfaatkan ruangan yang tersedia.
Walaupun tewas, ucapan tahniah diberikan kepada Steve Darby yang berusaha bersungguh-sungguh untuk meredakan ketegangan pemain-pemainnya yang telah hilang kawalan dalam usaha mencipta kemenangan.
Sikap sebegini seharusnya dicontohi oleh semua termasuklah pengurusan pasukan lain bagi menjelmakan keprofesionalan masing-masing dalam menghadapi saingan liga yang kompetetif penuh dengan tekanan.
Perjalanan masih panjang. Masih ada masa untuk terus mendaki ke puncak.
Buat kesuluruhan pasukan Perak teruskan usaha mendaki walau ribuan halangan menanti dihadapan. Yang pastinya penyokong tidak akan berundur walau selangkah untuk memberi sokongan.
Buat sang Seladang, kentalkan mentalmu, perhebatkan semangatmu, julangkan kehebatanmu dan rempuhlah mereka yang cuba menghalang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan