Imigran atau disebut kedatangan pendatang asing ke sesebuah negara seolah-olah menjadi suatu fenomena pada dunia hari ini dan tidak dinafikan betapa fenomena ini membawa pelbagai kesan sama ada bersifat positif mahupun negatif.
Adalah suatu yang semulajadi apabila sesuatu kejadian atau perbuatan itu membawa dua pendekatan yang berbeza iaitu positif atau tidak, malahan hasilnya juga tidak seimbang seperti kesan positifnya lebih banyak ataupun sebaliknya.
Di Malaysia, tidak dinafikan terdapat pelbagai perspektif terhadap kesan fenomena ini, malahan di sini, kedatangan pendatang asing sama ada yang secara halal atau tidak, banyak disogokkan dengan masalah yang dibawa bersama, mungkin dari negara asal mereka sendiri seperti kejadian-kejadian kecurian, pembunuhan, samun dan bermacam-macam jenis jenayah lagi.
Seringkali kita terbaca di dada-dada akhbar, bagaimana kedatangan pendatang asing di negara ini membentuk kumpulan sendiri untuk tujuan negatif seperti tertubuhnya kongsi gelap seperti ´Geng Seluar Dalam´ dan ´Geng Acheh´ yang telah banyak mencetuskan siri rompakan sekitar ibu kota tidak lama dahulu.
Dalam waktu yang sama, kebanjiran pendatang asing ini telah mengakibatkan bertambahnya permasalahan setinggan daripada jumlah yang sedia ada kerana kebanyakan mereka yang hadir ke sini tanpa premis tetap - mereka lebih selesa membuat penempatan haram.
Malah kita mungkin pernah terlihat sendiri mahupun terdengar di media-media elektronik, bagaimana para pendatang ini membuat penempatan di kawasan perumahan yang belum siap sepenuhnya. Mereka juga tidak segan-silu menternak haiwan ternakan, juga mengembangkan zuriat di kawasan tersebut.
Di kawasan penempatan ini, kita pasti mendengar banyak masalah lain yang timbul di persekitarannya seperti berlakunya pembunuhan, pergaduhan dan yang lebih teruja ialah perebutan wanita-wanita di kalangan golongan lelaki pendatang asing yang menghuni kawasan tersebut. Pastinya kita tidak boleh menolak andaian bahawa pernah mendengar kes wanita berkongsi lelaki ataupun wujudnya lubuk pelacuran di situ. Fenomena ini sudah tentunya melanggar batas kemanusiaan, apatah lagi jika dibandingkan dengan batas-batas agama Islam.
Andai anda mempunyai masa terluang pula, cubalah berjalan-jalan di sekitar ibu kota kebanggaan kita. Pasti anda merasa begitu terasing kerana rata-rata mereka yang memenuhi ruangan legar di sekitar bandaraya ini petah menuturkan perkataan-perkataan yang amat asing buat anda (juga kita), apatah lagi mahu memahaminya, seolah-olah anda bukan berada di negara sendiri. Setiap ruangan ibu kota disesaki dengan pelbagai budaya dan bahasa, malah lebih menarik lagi mereka ini begitu berani mengusik penghuni lain - juga ada yang berani berkelakuan tidak senonoh seolah-olah mereka berada di negara mereka yang tercinta.
Tidak ketinggalan pula untuk memperkatakan tentang kedatangan pendatang asing ke negara ini selain pembawaan masalah yang disebut di atas, fenomena ini akan menyebabkan pengaliran masuk secara haram masalah penyakit yang mengancam pendatang ini seperti penyakit TB, untut, cacar, autisme yang muda menular apabila tiada suntikan vaksin yang diberikan pada golongan ini semasa mereka kecil di negara mereka seperti yang diamalkan oleh Malaysia sejak dahulu lagi.
Permasalahan-permasalahan ini sebenarnya adalah gambaran sebenar bagaimana fenomena kehadiran pendatang asing ke Malaysia telah menenggelamkan kepentingan yang telah dilakukan oleh mereka dalam menjayakan pembangunan dan kemajuan sesebuah negara tersebut.
Pengalaman negara-negara maju seperti Jerman dan Denmark - disebabkan mereka tidak dapat membendung dengan berkesan fenomena ini, menjadikan ini masalah pendatang sebagai isu politik dan diplomatik yang besar, dan kesannya merebak di beberapa negara Barat lain termasuk Perancis.
Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun akan menghadapi masalah yang sama jika tidak menangani fenomena tersebut secara terancang dan teratur kerana negara kita dilihat sebagai ´negara mesra´ oleh semua bangsa. Apa sahaja bangsa atau agama amat selesa berada di negara kita. Semua bangsa termasuk `orang putih´ tidak janggal tinggal dalam negara kerana rakyat Malaysia juga fasih berbahasa Inggeris.
Keadaan negara ini yang memiliki masyarakat majmuk menyebabkan kita sukar untuk membezakan rakyat negara kita sendiri dengan pendatang asing.
Oleh hal yang demikian, dalam negara kini timbul masalah mengenal identiti seseorang itu melainkan setelah dia bertutur - itupun terdapat warga asing, misalnya orang Bangladesh sudah boleh bertutur seperti orang tempatan.
Masalah timbul apabila ekonomi tidak berkembang. Dalam pengalaman negara kita, ada tempoh-tempoh ekonomi menguncup menyebabkan pekerjaan berkurangan. Dalam tempoh itu, rakyat kita yang bekerja di bandar pun terpaksa pulang ke kampung. Ini berlaku beberapa kali pada awal 1980-an dan 1990-an dahulu.
Malangnya, sewaktu pusingan atau gelombang ekonomi ini berlaku, warga asing yang bekerja di negara ini tidak mahu pulang ke negara asal sedangkan mereka tidak lagi memiliki pekerjaan di sini.
Statistik menunjukkan jenayah di kalangan pendatang asing amat tinggi. Jenayah di kalangan warga asing berbanding jenayah dalam negara, walaupun peratusannya kecil tetapi lebih 55 peratus jenayah yang dilakukan ialah jenayah berat seperti membunuh.
Unjuran kajian kerajaan mendapati kalau kita tidak membendung masalah ini, pada 2010 nanti peratusan pekerja asing ini akan menjangkau 30 peratus daripada tenaga kerja dalam negara.
Walau apapun yang menjadi halangan kita untuk mengurangkan kehadiran pendatang ini, kita harus bersama-sama bersepakat untuk mengawal impak buruk yang dibawa oleh fenomena ini. Undang-undang yang diwujudkan oleh pihak berkuasa rasanya sudah memadai Cuma penguatkuasaannya yang menjadi halangan disebabkan sikap masyarakat itu sendiri.
Memetik kata-kata Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Datuk Azmi Khalid, “Undang-undang memang cukup. Soalnya sekarang bagaimana hendak melaksanakan undang-undang iaitu penguatkuasaan. Itu yang menampakkan kelemahan kita.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan