VISIT MY FLICKR

FEETHREE. Get yours at bighugelabs.com/flickr

Jumaat, 19 Disember 2008

Tentang Islam

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Pada suatu hari, ketika Rasulullah s.a.w berada bersama kaum Muslimin, datang seorang lelaki kemudian bertanya kepada baginda: Wahai Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan Iman? 

Lalu baginda bersabda: Kamu hendaklah percaya iaitu beriman kepada Allah, para Malaikat, semua Kitab yang diturunkan, hari pertemuan dengan-Nya, para Rasul dan percaya kepada Hari Kebangkitan. 

Lelaki itu bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah pula yang dimaksudkan dengan Islam? 

Baginda bersabda: Islam ialah mengabdikan diri kepada Allah dan tidak menyekutukan- Nya dengan perkara lain, mendirikan sembahyang yang telah difardukan, mengeluarkan Zakat yang diwajibkan dan berpuasa padabulan Ramadan

Kemudian lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! Apakah makna Ihsan? 

Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah beribadat kepada Allah seolah-olah engkau melihat-Nya, sekiranya engkau tidak melihat-Nya, maka ketahuilah bahawa Dia sentiasa memerhatikanmu. Lelaki tersebut bertanya lagi: Wahai Rasulullah! 

Bilakah Hari Kiamat akan berlaku? Rasulullah s.a.w bersabda: Sememangnya orang yang bertanyakannya lebih mengetahui dariku. Walau bagaimanapun aku akan ceritakan kepadamu mengenai tanda-tandanya. Apabila seseorang hamba melahirkan majikannya maka itu adalah sebahagian dari tandanya. Seterusnya apabila seorang miskin menjadi pemimpin masyarakat, itu juga sebahagian dari tandanya. Selain dari itu apabila masyarakat yang pada asalnya penggembala kambing mampu bersaing dalam menghiasi bangunan-bangunan mereka, maka itu juga dikira tanda akan berlakunya Kiamat. Hanya lima perkara itulah sahaja sebahagian dari tanda-tanda yang diketahui dan selain dari itu Allah sahaja Yang Maha Mengetahuinya. 

Kemudian Rasulullah s.a.w membaca Surah Luqman ayat 34 Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah lebih mengetahui bilakah akan berlaku Hari Kiamat, di samping itu Dialah juga yang menurunkan hujan dan mengetahui apa yang ada di dalam rahim ibu yang mengandung. Tiada seorang pun yang mengetahui apakah yang akan diusahakannya pada keesokan hari iaitu samada baik atau jahat dan tiada seorang pun yang mengetahui di manakah dia akan menemui ajalnya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan- Nya. 

Kemudian lelaki tersebut beredar dari situ. Rasulullah s.a.w terus bersabda kepada sahabatnya: Sila panggil orang itu kembali. Lalu para sahabat berkejar ke arah lelaki tersebut untuk memanggilnya kembali tetapi mereka dapati lelaki tersebut telah hilang. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda: Lelaki tadi ialah Jibril a.s. Kedatangannya adalah untuk mengajar manusia tentang agama mereka.

(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rukun Islam

Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah Ibnu Umar r.a. katanya, "aku dengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 

dirikan Islam atas lima (rukun), syahadah (pengakuan) bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan bahawasanya Muhammad itu Rasulullah dan mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji di Baitullah dan puasa di bulan Ramadhan.

(RIwayat Bukhari dan Muslim)

Jumaat, 12 Disember 2008

Contoh Ahli Syurga


Hadis Abu Hurairah r.a:
Seorang lelaki kampung telah datang menghadap Rasulullah s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah, tunjukkanlah kepadaku suatu amalan yang membolehkan aku memasuki Syurga. 

Rasulullah s.a.w bersabda: Engkau hendaklah mengabdikan diri kepada Allah, jangan menyekutukannya dengan sesuatu, dirikanlah sembahyang sebagaimana yang difardukan dan keluarkanlah zakat yang diwajibkan serta berpuasa pada bulan Ramadan

Lalu orang itu berkata: Demi Allah yang berkuasa ke atas diriku, aku tidak akan menambah atau menguranginya sama sekali apa yang telah dijelaskan kepadaku. 

Setelah orang itu beredar Rasulullah s.a.w pun bersabda: Sesiapa yang ingin melihat ahli Syurga maka lihatlah kepada lelaki ini.

(Riwayat Muslim)

Khamis, 4 Disember 2008

Minum Dari Bekas Perak

Daripada Ummu Salamah r.a isteri Nabi s.a.w, Rasulullah s.a.w telah bersabda: 

Orang yang minum dengan wadah atau bekas air yang diperbuat dari perak, sesungguhnya akan dididihkan perutnya dengan api Neraka Jahanam.

(Riwayat Muslim)

7 Yang Disuruh dan 7 Yang Dilarang

Hadis Al-Bara' bin Azib r.a katanya:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara. 

Baginda memerintahkan kami 
  1. menziarahi orang sakit, 
  2. mengiringi jenazah, 
  3. mendoakan orang bersin, 
  4. menunaikan sumpah dengan benar, 
  5. menolong orang yang dizalimi, 
  6. memenuhi undangan dan 
  7. memberi salam. 

Baginda melarang kami 
  1. memakai cincin atau bercincin emas, 
  2. minum dengan bekas minuman dari perak, 
  3. hamparan sutera, 
  4. pakaian buatan Qasiyyi iaitu pakaian berjalur yang diperbuat dari sutera,
  5.  serta mengenakan pakaian sutera, 
  6. sutera tebal dan 
  7. sutera halus.

(Riwayat Muslim)

Sutera Untuk Wanita

Daripada Sayidina Ali r.a katanya:

Rasulullah s.a.w telah dihadiahkan dengan pakaian bersulam lalu baginda mengirimkannya kepadaku. Akupun memakainya tetapi aku melihat kemurkaan di wajah baginda. 

Baginda bersabda: Sesungguhnya aku mengirimkan pakaian itu kepadamu bukan untuk dipakai tetapi aku mengirimkannya supaya engkau jadikannya sebagai kain tudung wanita.

(Riwayat Muslim)

LIFE

Feed The Fish